Assalamu'alaikum Warahmatullai Wabarakatuh!
Bismillah ar Rahman ar Rahim, selawat serta salam khas buat Baginda SAW, al Quran dan as-Sunnahnya, harta kita peninggalan yang paling berharga. Bacalah Quran dengan sebanyak-banyaknya. Bersihkan hati mu dengan ayat suci al Quran nescaya kita semua akan selamat dari memiliki hati yang kotor.
Manusia banyak gembira dari berduka semasa di dunia. Ya! Manusia lebih gemar merasa bahagia, gembira, senang dan lapang. Manusia itu merujuk langsung kepada diri ku yang hina disisi Allah ini. Manusia tidak sedar hakikat sebenar hidup, apa itu hidup? Aku tidak pandai untuk menerangkan pengertian hidup menggunakan dalam kalam sendiri tetapi aku perlu menyatakan di sini dalam kalam para bijak pandai dan hukama’ yang telah pun merasa terbang tinggi, mereka telah menjadi manusia mulia, mereka seperti kita, tetapi apa yang membezakan kita dengan mereka adalah akal, mereka menggunakan akal dengan sebaiknya, sebaik-baik kegunaan akal adalah mencari illmu dan menyelesaikan masalah umat, untuk agama Allah SWT. Kita bukan dikurniakan akal yang lembab, kita pada hakikatnya sama seperti para ulama’, bijak pandai dan yang sama waktu dengannya, namun, pada hakikatnya akal manusia pada zaman yang hampir telah sampai ke penghujungnya telah dikotori dan dicemari dengan nafsu dunia, habuk serta kotoran nafsu serta ghairah akan godaan musuh-musuh umat Islam yang gemilang ini. Mereka telah pun dirasapi dengan fahaman cinta dunia yang menggila serta memandang dunia dengan hati, yang sepatutnya manusia seharusnya begini “Peganglah dunia dengan tangan jangan pegang dengan hati” dunia perlu kerana dunia adalah jalan menuju Akhirat, namun jangan terlalu mengejar jalannya sebelum sempat mencapai destinasi, dibimbangi jalan yang dilalui mempunyai lopak dan lubang-lubang besar yang memungkinkan kita jatuh terhembas ke dalam jurang yang amat dalam. Minta dijauhkan Tuhan.
Hakikatnya dunia hanya beberapa minit. Cuba kita bayangkan, selama hari-hari kehidupan kita semenjak baligh, berapa banyakkah kita berjasa untuk Islam? Apakah kebanggaan yang kita tonjolkan demi agama Islam kita? Jawapannya hanya pada diri sendiri, tidak perlu diwawarkan, jika ada Alhamdulillah, namun jika tidak ada, adakan ia! Kita masih belum terlambat selagi nyawa masih dipinjamkan Allah, selagi Allah Taala sudi meminjamkan nyawa dan roh milik-Nya dalam diri kita, gunakanlah! Hidup hanya sekali- hidup di sana hanya untuk menerima nikmatNya, bukan untuk menerima niqmah!
Hidup manusia semakin hari semakin lupa akan hakikat sebenar penghidupan di alam ini. Kita bukan minta untuk sempurna, tetapi kita hidup dengan bersandarkan pancaran cinta Tuhan, Tuhan sangat Penyayang! Selagi Tuhan mengenangkan kita sebagai hamba, maka selagi itulah manusia sempat untuk memohon rahmatNya. Allah tidak kedekut, bahkan manusia yang bersifat kedekut, kedekut kerana sering melupakanNya. Manusia leka,banyak mengenangkan nikmat, banyak memperolehi kegembiraan lalu menjadi lalai, menjadi tenggelam di dalam keasyikan serta kesyahduan hidup yang tiada susah. Jangan!! Jangan terlalu menghayati dunia dengan kegembiraan, sebaliknya hadapilah dunia dengan kepayahan! Kepayahan menggambarkan kejayaan. Masih ku ingat kata-kata ustazahku sewaktu dulu “perkara kebaikan sering kita susah menjalankannya serta perit, namun perkara maksiat sangat senang dan mudah serta seronok” mana pilihan kita, jawapan yang tepat jika mengikut nafsu, nafsu inginkan keseronokkan (nafsu amarah) pada nafsu mutmainnah (beriringi bersama iman yang teguh serta tulen terhadap pergantungan pada Tuhan) merelakan dirinya hidup dalam kesusahan di dunia. Di hina di dunia sementara sahaja. Namun hina di Akhirat sangatlah lama. Aku tidak tahan menahan diri ku terhadap api neraka Tuhan itu! Minta kita semua dijauhkan. Amin. Aku pernah terbaca kisah Syeikh Abdul Kadir al-Jailani, beliau tidak menggunakan semua nikmat hebat yang Allah kurniakan sebaliknya hanya menggunakannya sedang-sedang sahaja (sederhana) kerana manusia yang banyak mendapat nikmat senang bimbang akan kufur, sedangkan nikmat susah ramai akan syukur, sedikit yang kufur.
Aku melihat manusia, berjalan, meneruskan kehidupan masing-masing. Menjalankan tugas masing-masing sebagai pekerja, guru, ibu bapa, pelajar, menteri, perdana menteri, pendakwah, peguam, hakim dan sebagainya. Mereka punya tugas, mereka sibuk! Terlalu sibuk. Alangkah beruntungnya mereka yang berjalan itu berjalan bersama Allah, jiwanya wujud akan di dalam hati akan kewujudan Allah lebih dekat dengan apa yang mereka sangka. Bertambah malang lagi mereka berjalan dengan jiwa kosong, tidak menghayati detik-detik nafas yang menghembus, tidak meneliti ruang tujuan kakinya melangkah, kerana fikirkan keuntungan yang bakal diperolehi setiap bulan, setiap selesainya sesebuah projek mega, memikirkan keberuntungan berdamping dengan para atasan untuk menjulang nama, kerana gahnya nama akan besarlah rezeki dan terserlahlah kemasyhuran yang diimpikan selama ini, kerana bukan mudah untuk menjadi orang terkenal. Itulah orang-orang yang rugi!
Tersebutlah di dalam al Quran, mafhumnya “ sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk dan di dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan kejadian langit dan bumi, seraya berkata, “ya Tuhan kami tidaklah Engkau jadikan ini sia-sia, Maha suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa api neraka,” – surah Ali-Imran: 90-91. Jauhnya manusia melebarkan sayap dan meluaskan pandangan, ke serata dunia, namun apakah ia membawa keberuntungan pada kita, selaku hamba yang mendambakan rahmatNya di Akhirat kelak. Ayuhlah teman, sahabat, saudara ku semua, lebarkan sayap mu untuk agama, sekali pun engkau di awan sana, ayuh rakan taulan, pandanglah dunia mu dengan pandangan mata hati kurniaan Tuhan, sekali pun pandanganmu pada perhiasan dunia, wahai orang yang disayangi semua, angkatlah agamamu ke serata dunia, sekali pun duniamu penuh dengan kehinaan, hina dengan mulia akan terpisah, mereka tidak akan bersatu, manusia juga begitu. Manusia hina akan bersama mereka yang hina, manusia yang mulia akan bersama yang mulia, namun sialah diri ku mengakui sebagai manusia mulia! Jejaklah seluruh alam mengintai kekuasaan Tuhan, baru kita sedar betapa kerdilnya manusia, betapa kecilnya pembesar-pembesar yang zalim, supaya kita tidak mudah melihat mereka dengan pandangan lemah, tetapi melihat mereka dengan pandangan gagah kerana kita punya Tuhan, yang maha Gagah!
Sedarlah kita semua, nasihat ke empat Luqman al-Hakim adalah kembalilah kepada Allah, kerana apa kita telah pergi jauh dari Allah, maka setelah Malaikat meragut nyawa kita, barulah hadir kesedaran dan penyesalan dalam diri! Sungguh malang panyesalan kamu itu, kerana ianya sudah terlambat, di saat jasad kamu akan ditanam, roh kamu tersungkur ke bumi memohon ampun dan menyesal, lalu kamu akan berkata, “Alangkah Baiknya Seandainya Duhulu Aku Jadi Tanah”
Sebelum nyawa kita diragut ganas oleh Malaikat Maut, marilah kita semua menghina diri mengharap petunjuk, rahmat, jalan mulia oleh-Nya. Hinakanlah diri kita di depan Tuhan, sememangnya kita hina, hina dengan berdamping dengan maksiat dan suka dengan kelazatan dunia yang keji. Belajarlah untuk jadi manusia sempurna walau selama-lamanya manusia tidak akan sempurna, namun hakikatnya kesempurnaan hanya kurniaan Allah dan Dialah yang Maha sempurna tiada selainNya. Kembalilah kepadaNya, dan tempat kembalinya kita hanyalah kepada-Nya. Allahu Akbar!
Nukilan Suci,
~Cahaya Rindu
p/s: Segala ilham yang disampaikan adalah segalanya dari Tuhan, yang baik ambilllah, dan yang tidak baik jadikan sempadan, selamat beramal (diri ku). Tegurlah aku sekiranya aku tersasar dari landasanNya. Syukran!
No comments:
Post a Comment