Fajar kadzib telah pun berlalu ditolak lembut oleh Fajar Shodiq yang tiba waktunya subuh. Langit masih lagi menggelap pekat melidungi wajah-wajah insan yang berjalan menuju ke rumah ALLAH dari penglihatan manusia di saat berakhirnya waktu bersahur. Gelap! Ia masih gelap dan ia begitu baik dari menjadi penutup perhatian orang-orang yang melihat. Kadang-kadang gelap adalah suatu keadaan yang terbaik ketika kita berada di dalam jalan yakin supaya tidak dilihat manusia! Masa sungguh pantas tidak terkejar seperti terkejarnya seorang hamba akan pahala-pahala yang dicurahkan buat hamba-hamba Allah yang ikhlas beramal di bulan Ramadhan yang barakah ini. Ramadhan Karem! Moga-moga saya masih tidak terlambat mengucapkan penghormatan mulia bulan yang dimuliakan ALLAH buat insan-insan yang berlapar pahala dan berdahaga rahmat serta berlutut keampunan. semoga segala amal ibadat hamba-hamba Dia yang soleh dan mukmin tidak jatuh ke dalam agenda penipuan Iblis ke dalam hati-hati hamba yang benar sebagai pencinta ALLAH Taala dan Rasulullah SAW serta penagih rahmatNya.
Kadang-kadang kita mudah ditipu oleh syaitan Laknatullahi Taala ‘alaih kerana tergelinciran hati dalam mengetatkannya, namun kesabitan hati manusia itulah yang menguatkan keyakinan terhadap pandangan Allah. Apabila betul-betul tsabit terhadap matlamat dan wawasan atas kesyahidan atau penyaksian Allah lah segala-galanya di atas segala sesuatu perbuatan dan amalan, maka InsyaAllah! Berjalanlah kamu bersama Allah Taala tanpa ragu dan buatlah dengan gembira lalu tersenyum dalam mengingatiNya! dan tidak ingin lagi berbuat kebaikan pada pandangan mata manusia yang bersifat segalanya sementara! Kerana, matlamat dan tujuan melangkahnya kaki itu, kerana ALLAH, ALLAH dan ALLAH, demi mendapat redhaNya!
Sebaiknya, apabila berjalan jangan menoleh ke kiri dan ke kanan, ke belakang! Namun berjalanlah dengan memandang tempat di mana kamu melangkah dan berpijak. Menunjukkan tawadhu'nya sebuah hati, kerana "berjalan tunduk bukan erti kau kalah" (Nasyid Kump. Rabbani) Kerana tempat kamu melangkah itu adalah TANAH menggambarkan sebuah hati yang mengingati MATI. Nah! Tanah itulah tempat kembalinya kita, kita akan kembali menjadi tanah. Sejauh mana kita melangkah kerana kesombongan, setinggi mana dongakkan wajah kita ke langit kerana keangkuhan, kita tidak akan ke mana-mana, seangkuh mana gerak langkah gagah kita itu, sebongkak mana tutur bicara kita merendahkan manusia, kelak nanti kita akan lebih rendah dari cacing lalu menjadi makanan cacing dan ulat di alam sana. Bukan kita menduga nasib hamba kerana itu semua di dalam perhatian dan kiraan Allah Taala tetapi hal keadaan sedemikian jelas-jelas adalah suatu pengingkaran terhadap ajaran ALLAH SWT yang telah tercatat di dalam Kitab Suci al-Quran, yang mana banyak menceritakan perihal kenagkuhan-keangkuhan manusia. Moga-moga kita terkeluar dari golongan tersebut. Berdoalah!
Dan yang penting kita jangan kita mengata kepada orang lain insan lain, saya tidak mengata kepada anda, malah ini adalah teguran buat diri saya! kerana diri kita juga kita tidak akan tahu sejauh mana di dalam diri kita, Ingat! Jangan kita menyangka kita sedang beroleh keikhlasan yang seutuhnya, jika berkeadaan sedemikian kita sedang berada dalam tipuan Iblis laknatullah! Tetapi biarlah Allah yang mengira. Iblis sentiasa memainkan peranan meraih hati manusia supaya berasa ujub dengan kebaikan diri, mungkin berasa mulia di sisi orang-orang sekeliling! Jangan dan jangan! Renungkanlah.
Jangan sesekali merasa mulia. Namun bergaullah dengan orang-orang yang berada dalam kemuliaan yang terjamin dengan seperti Majlis-majlis ilmu, majlis dzikir, selawat dan sebagainya. Mulianya Baginda sebagai Rasulullah SAW oleh kerana itu Baginda insan tauladan dan Quwah Hasanah. Baginda seorang yang mulia. Ia jelas dan tertulis sebagaimana di dalam al-Quran dan hadist. Dan lihatlah ke dalam diri kita. Apa yang ada? Allah lah yang menilai, bukan kita, bukan kamu dan bukan saya, juga BUKAN mereka, jadi janganlah berharap pujian rakan, sahabat dan teman dalam kita melangkah ke jalan kebaikan. Jangan dan jangan. Bulatkan tekad kentalkan hasrat “Segalanya Demi Redha dan HidayahNya”
P/s: ….sahabat-sahabatku, maafkan daku, diri ini penuh dosa sehingga rasa begitu tidak mampu berhadapan dengan kalian.. Kata-kata ini buat saudara-saudara seISLAM yang diharapakan, namun ianya khas buat diri sendiri yang banyak berbuat kesalahan. Salam Rindu~
No comments:
Post a Comment