..:: Al-Quran:::..

Bila belum siap melangkah lebih jauh dengan seseorang, cukup cintai ia dalam diam... kerana diammu itu adalah salah satu bukti cintamu padanya...kau ingin memuliakan dia, dengan tidak mengajaknya menjalin hubungan yang terlarang, kau tak mahu merosak kesucian dan penjagaan hatinya.

-al-'Asyiq


قُلْ سِيْرُوا فِى الَأَرْضِ فَانْظُرُوْا كَيْفَ بَدَأَ الخَلْقَ



" Tanda Kita kasih Kepada al-Qur'an Ialah Dengan Kita Membacanya, Beramal Dengannya, Memahami Tuntutan, Menjunjung Suruhan dan Meninggalkan Larangan-Nya.."

"...Sesungguhnya Allah Tidak Melihat Kepada Jasad dan Tidak Juga Kepada Rupa Paras Kamu, Tetapi Allah Taala Memandang Kepada Hati Kamu.." - Hadis Rasulullah SAW.

::..Baca dan Cintai al-Quran & Buku Demi RedhaNya Supaya Tergolong Dalam Orang-Orang Yang Berfikir..::

`::: HaDis :::


click to create your glitter text

Rasulullah SAW bersabda: " Barangsiapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memberi kemudahan baginya menuju syurga.."

~ Mutiara kata al Hikmah ~

" Allah menurunkan rahmat ilmu melalui lapar dan berpuasa. Sebaliknya kejahilan terjadi akibat perut yang sentiasa kenyang."

Monday, September 19, 2011

Sebuah Amanat dan Nasihat

Hari ini pertama kalinya aku berada di dalam Majlis Ilmu yang dipimpin oleh seorang Murabbi yang cukup disegani dan cukup dihormati di UniSZA ini disebabkan kealiman dan kefaqihan beliau di dalam menajlani kehidupan sebagai seorang Muslim yang berilmu dan beramal serta di dalam mengeluarkan kata-kata berupa Ilmu yang amat dalam serta tinggi. Subhanallah! Bisa menusuk ke dalam kolam jiwa. Memecah kekerasan hati. Mencalit kewangian kasturi.
Aku begitu teruja dan gembira apabila mendapat tahu bahawa Ustaz Tirmizi salah seorang Pensyarah yang bakal menjadi pembimbing kelas Syariah kami semester 5 dalam maddah Qawa’id Fiqhiyyah atau Kaedah Fiqh yang mana, dalam semester ini sudah pun berbaur-baur aura perakhiran dan di ambang lambaian pintu gerbang. Aku sangat tidak bergembira akan hakikat itu! Tahun akhir begitu menyesakkan dada dan menyebakkan hati! Aku ingin hanya sebagai penuntut ilmu! Kelas baru bermula. Beliau amat disegani oleh kebanyakan pensyarah-pensyarah. Ustaz Dr. Wan Mohd Yusof Wan Chik selaku pensyarah Maddah Usul Fiqh dan Maddah as-Siasatu as-Syar’iyyah yang mana tidak kurang hebatnya pernah berkata
“Kamu semua selaku pelajar jurusan Syari’ah di UniSZA, akan teramat rugi jika kamu tidak berkesempatan merasa berguru dengan Ustaz Tirmizi Toha, Dr. Basri, Dr. Salleh, Ustaz Khairal, Ustaz Zulkifli dan Ustaz Halim, kerana mereka begitu tinggi ilmunya”
Aku begitu teringin mendapat kesempatan berada di dalam majlis mereka-mereka yang ‘alim dan faqih itu. Dan seperti hari ini, aku begitu teruja dan terkesan dengan kata-kata muqaddimah Ustaz Tirmizi Toha dalam menasihati dan memperingati anak pelajar tentang adab-adab semasa berada di dalam majlis ilmu dan adab-adab semasa menuntut Ilmu. Lebih-lebih lagi Ilmu agama. Malah Sehingga berjaya membuatku menitiskan sesuatu dicelah anak mata. Aku sangat tersentuh akan kata-kata beliau. Masih ku ingat ustaz memesan,
“Belajarlah Ilmu kerana Allah, jika kamu belajar kerana sijil, pada malam peperiksaan itu sahaja kamu akan memperolehinya berserta pada hari peperiksaan, kemudian ia beransur hilang dan lenyap, tidak ada manfaat, namun jika segalanya kerana Allah, di mana-mana kamu berada, ilmu tetap akan bersama kamu, dan Allah juga bersama kamu, ia membantu kamu dalam kehidupan”,
Kami tekun mendengar.
“Di dalam majlis Ilmu tika bersama saya, saya amat pantang pelajar-pelajar berbisik-bisik sesama rakan. Kerana amalan berbisik-bisik antara dua orang akan menimbulkan sangkaan yang selainnya kebaikan. Jika tidak memahami, hendaklah terus bertanya”
“Hendaklah membuat tugasan dengan baik dan tidak menipu apabila memberi alasan apabila tidak dapat hadir atau tidak dapat menyiapkan tugasan dengan baik. Saya terima apa jua alasan-alasan yang diberikan, namun saya tidak dapat menerima alasan itu jika menipu atau sekadar helah untuk melepaskan diri”
“Di dalam majlis ilmu, saya ingin menegur pelajar bahawa tolong Jaga auratmu itu bagi pelajar muslimat, labuhkan tudung dan tutuplah dadamu apabila berpakaian kerana orang yang melihat kamu akan menjadi fitnah, jagalah auratmu wahai pelajar muslimin, jangan berseluar ketat, dan hendaklah meninggalkan rokok”
“Saya tidak suka bila melihat pelajar-pelajar mengamalkan budaya couple! Apakah yang kamu dapat dan inginkan di dalam menjalinkan hubungan sebegitu, saya nak nasihatkan kamu, kamu usahlah risau pasal jodoh, kerana jika kamu seorang yang ‘juruh’ (baik), orang lain yang akan mencari kamu”
“dinasihatkan pelajar lelaki, berhentilah merokok!”
“Kamu mestilah menghormati Majlis ilmu, jangan berbalas mesej semasa kelas belajar, jangan membuat panggilan keluar dan jawab panggilan hanya pada yang penting-penting sahaja bila berada di dalam kelas. Jaga tingkah laku, jangan bertabarruj. Bersolek hanya untuk suami, disebabkan itu muslimah dituntut membaca dan memahami surah an-Nur dan Muslimin membaca surah at-Taubah supaya kita faham”
“Jalan menuju neraka adalah seronok iaitu dengan nafsu syahwat,
"حُفَّةُ النَّار فِى الشَّهْوَة"
“Kalau nak cari isteri, cari yang betul-betul, tengok keturunan dia, dan yang adik-beradik ramai, supaya nanti umat Islam akan bertambah ramai. Orang Kristian sangat bimbang dengan bertambahnya bilangan umat Islam sekarang yang berlipat kali ganda dengan bilangan mereka, diibaratkan 1 nisbah 8. Lalu mereka juga ingin mengeluarkan ramai penganut kristian dengan cara kelahiran yang bertambah”.
Alangkah keadaan dan pesanan inilah yang aku begitu idamkan oleh seorang guru dan penyalur ilmu, sesungguhnya bagiku, peringatan-peringatan seperti inilah yang harus diingatkan ke[ada pelajar, kerana pelajar-pelajar dan penuntut-penuntut di era zaman moden seperti hari ini sepertinya mengabaikan hak-hak dan adab-adab mempelajari sesuatu ilmu, adab menuntut ilmu dan segala jenis adab pergaulan, yang tidak lain dan tidak bukan, itulah saya! Saya berharap akan kehadiran seorang insan yang dengannya menjadikan aku seorang yang melihat kebaikan dan kesucian dalam menjalani kehidupan yang sarat dengan cabaran-cabaran seperti pensyarah-pensyarah UniSZA-UDM-KUSZA.
P/s: Subhanallah! Aku tersangat kagum pada sahabat-sahabatku yang alim dalam ilmu Nahu wassorf, dan alim dalam tatakallam lughat al-‘arabiyyah. Moga mereka berada dalam kecintaan Allah. Allhu ya Kareem. Allahu Akbar! Allhumma Sholli ‘ala saiyyidina Muhammad!

Saturday, September 17, 2011

Lelaki berjubah putih

(Gambar Hiasan semata-mata: Syeikh Kabir mesir datang ke Malaysia tahun 2011 lalu)

Suatu kisah tentang manusia…..

Dalam kegelapan malam, hening. Tiada yang melekakan diri berjalan, meniti hari-hari gelap tika waktu maghrib bertandang.

Ku berjalan. Menuju ke sana. Hanya aku yang berada di situ tika itu. Gelap. Perlahan-lahan ku menuju matlamatku. Sedang ku leka menyusun langkahku perlahan.

Tanpa disedari ku melihat batang tubuhnya, seorang lelaki berjubah dan berserban putih. Dia sedang berjalan. Hampir kepada laluan ku ke sana. Sedangku berjalan. Ku melihat dia. Tiba-tiba ia menuju ke arahku. Bertentang arah! Aku melihat dia. Dari bawah. Dia semakin mendekatiku. Aku mengangkat Pandanganku kepadanya. Aku memandang wajahnya!

Qin..Buka muka sebelah”, kata sahabat baikku lembut dan perlahan di bangku sebelah. Dia shohib si pemilik kitab di tangan-tangan. Aku kagum akan peribadinya. Kak hafizah Jaya, anak jati Sabah. Namun loghat Kelantannya sepertinya lebih faseh dariku!

Ah! Aku terlelap rupanya. MasyaAllah.. rupanya baru beberapa saat aku terlelap. Aku bermimpi. Ia terlalu singkat. Sehinggakan….Ah! aku malu sendiri. Rupanya aku masih di dalam kelas kitab al-Iqna’.

Kenapa aku tertidur, sedangkan aku begitu asyik dengan pelajaran ini” bisik hatiku sendiri. Sepi.

Namun disebabkan cuaca diluar dingin dan dihujani renyai-renyai air, menyebabkan mataku sedikit agak mengantuk, tambahan pula Dewan Kuliah Utama begitu menggoda penuntut supaya melelapkan mata tika itu. Namun, aku kecundang juga. Agak jarang ku dapat mengantuk tika waktu begini. Kelas kitab begitu mengasyikkan.

Aku melihat Ustaz Halim bergegar-gegar menerangkan kefahaman kepada mahasiswa dan mahasiswi penuntut ilmu kitab yang digeruni itu. Ia agak sukar. Jika di UniSZA, kitab al-Iqna’ dijadikan silibus pelajar syariah Diploma semester 3 dan 4, dan dijadikan juga sebagai silibus pelajar STAM. Dan agak berlainan dengan kelas yang aku jalani sekarang. Ia adalah sebuah kelas tambahan. Demi mencari ilmu. Demi mengurangkan kejahilan diri. Demi mendekatkan diri kepada Tuhan. Demi menyedarkan diri, bahawa aku hamba yang jahil. Demi mendapat redhaNya!

Aku berharap,

Itulah cita-cita tinggiku! redhaNya. Aminn.

Tika malamnya, sedang ku leka mentelaah pelajaran di meja tulis. Ingatanku terimbas pada perkara itu tanpa disedari.

aneh!..aku seperti mengenali wajahnya”, getus hatiku.

Lalu aku membiarkan peristiwa itu berlalu seperti air mengalir.

Namun ingatanku kepada perkara itu begitu kuat. Tidak pernah terkurang kejadiannya. Sepertiku menghafal. Sedangkan tidak Sama sekali!

P/s: Aku ingin jelaskan di sini, kitab sir al asrar, karangan Syeikh Abdul Qadir Jailani mengenai mimpi dalam bab Makna dan Rahsia mimpi pada terjemahannya yang tertulisnya, “Mimpi yang muncul antara awal tidur dan lelapnya tidur adalah mimpi yang benar dan bermakna. Mimpi seperti ini disertai Ilham dan petunjuk. Itulah mimpi yang menjadi citra pada mata hati”. Syeikh Abdul Qadri Jailani, Sirr al-Asrar terjemahan ‘Rahsia Segala Rahsia’, bab makna dan rahsia disebalik mimpi, h.243, cetakan synergy Media. Tiada Tahun.

“Segalanya Ilmu, Iman Dan amal”

Ianya seperti air!


Wednesday, September 14, 2011

Bila Kurang Membaca

Bila Kurang Membaca

إذا يقرء قليل

When read a little


Bayu senja masih belum menyapa diriku, entah kenapa ku rasakan sesuatu keanehan telah berlaku kepada diriku. Jiwa tidak tenang hati juga tidak lapang, melihat seperti tidak melihat mendengar seperti tidak mendengar. Pandangan kosong dan pendengaran sepi, seperti berada di lorong sunyi. Alangkah aku begitu tidak menyukai tempat ini, namun kenapa aku berada di tempat ini. aku tidak mahu! Di mana mereka itu telah pergi. Aku ingin berada bersamanya.


Ya Allah, ia semakin beransur pergi. Perlahan-lahan ia meninggalkan aku, sedang aku masih di belakang. Jauh! Aku tidak mahu. Aku ingin jiwa yang utuh itu, aku ingin cinta, aku ingin bersama mereka, para pencinta! Mereka telah pergi! Ya Allah! aku berasa lemas, lemas dalam kejahilan, aku tidak dapat berfikir lagi!”, Tangisan hiba oleh sang hati!


Allahu Akbar!

Lahaulawala Quwwataillabillah!!


Cinta Kembali bersemi!

Angin bayu kembali menyapa hati, tenang dirasakan. Asyik yang tidak tergambar dengan lukisan jua tidak mampu dikarang oleh coretan kata, hanya mampu merasa sendiri. Tidak dapat untuk berkongsi rasa. Beginikah hakikat perasaan apabila bersamanya, kau memberi keindahan pada hati, alam menjadi terang-benderang, pandangan terukir indah, menyinari sebuah alam hati, cahaya dalam mengembara! kata-kata mampu meresap di jiwa. Bila kebenaran yang mendasar, deras-derasnya bantuan Murabbi pemilik ‘arasy! Lalu dia telah dapat bersama mereka para pencinta Ilmu. Betapa bahagia dan cintanya kerana telah berpeluang bersamanya.


Kini ku bisa mengira, bila tidak membaca fikiran seolah membeku dan lenyap. Perasaan cinta semakin layu dan tunjuk rajuk. Rasa manis telah tawar. Mekar menjadi layu. Kecintaan berombak merajuk pilu terus meninggalkan shohib si pemilik buku di tangan-tangan, di bawa ke mana-mana, tanpa rasa lenguh, tidak juga rasa megah, namun dasar hati tetap mengatakan “Aku, Buku Dan Cinta” tiada cacian yang bisa melemahkan, tiada pujian yang bisa meninggikan. Aku tetap aku, bercita-cita ingin mendapat perhatian! Mungkin aku ingin berada dalam pandangan-Nya, atau mungkin jauh sekali dari berada dalam rahmat-Nya, Allah, ku mahu kasih-Mu, ku mahu cinta-Mu, itulah langit harapanku hanya kepada-Mu. Biarlah gunung Kau lontarkan, namun luka dan kematian tidak dapat menyaingi rahmat dan redha yang diharapkan, Kuatkan! Moga berjaya. Aku tidak mahu lemas lagi.


~ Bisikan Nurani Hati yang bergembira ~ Al-Mahabbatul ‘Ilm ~


Berdasarkan kata-kata di atas, apa yang dapat disimpulkan, jiwa akan gersang bila tidak disirami ayat suci al-Quran, cinta akan beransur pudar dan merajuk resah seakan tidak mahu kembali, otak juga menjadi tumpul dan terasa kosong dari dari bekerja untuk berfikir. Sesungguhnya hidup tanpa membaca terlalu sunyi dan derita, alangkah begitu berat jika berkeadaan sedemikian. Belajarlah dengan istiqamah, siramlah hati dengan ayat al-Quran dan fasehkan lisan dengan Tasbih, tahmid dan takbir, kembangkan akal denga membaca! Garaplah kemajuan minda dengan Ilmu! Jangan pernah berhenti berfikir berpandukan al-Quran dan Hadith.


“Segalanya Ilmu”


Ilmu terkandung di dalamnya ‘Iman dan yakin’ kepada Allah menurut Imam al Ghazali.


P/s: saya masih teringat-ingat akan kata-kata guru matematik saya cikgu Amazon Yusuf semasa di tingkatan 5, , “Jika belum mampu mengajar kepada kawan-kawan kamu setelah apa yang kamu faham akan kaedah matematik, bermakna kamu belum menguasai sepenuhnya akan kefahaman itu,” dan kawan saya juga pernah bertanya “Cikgu, kenapa jawapannya begini”, jawab cikgu “Jika kamu ingin mengetahui sebab dan musabbabnya, galilah kubur pencipta teori ini” – namun apakah sama teori matematik yang bersifat objektif dengan teori cinta yang bersifat subjektif? No komen. Saya amat menyanyangi guru saya itu.

Sebuah Kitab Cinta



Sebuah Kitab Cinta
الكتاب الحب
A Book of Love
Angin menyapa lembut raut wajah, hening.. tenang sekali. Sesekali membawa diri ke dalam kesunyian dan keseorangn membuah hasil yang aku sendiri sudah menjangkanya, aku sukar mendapat peluang begini. Fikiranku lapang. Berada jauh dari manusia. Dapatlah aku berfikir dengan baik dan tidak mendesak akal. Sesekali aku merenung awan, ia bergerak laju jika aku benar-benar memerhatikannya, tetapi jika tidak menghiraukannya, aku lantas tidak sedar akan kejadian-kejadian sebegitu. Perlahan-lahan aku meninggalkan bumi barakah UniSZA, sesungguhnya aku telah mencintainya tanpa aku merancang dan mengira dengan tepat, namun rasa yang bersangatan itu jelaslah ia padaku akan perasaan ku tika dan waktu ini. agak berat bagiku berjauhan dengan tempat itu, walaupun aku begitu ingin bersama keluargaku di kampung halaman, cinta terhadap tempat menuntut ilmu dan ilmu-ilmu di sini. Dengan izinnya aku tidak sesekali pernah akan lupakan, ia begitu mendalam dan bermakna! Sungguh ya Allah! Aku telah tersimpul suatu pendapat bila berjalan sambil berfikir terasa amat nikmat, lebih nikmat dari merasai nikmat makan dan minum. Itu hanyalah suatu perasaan aneh seorang manusia. Akhir-akhir ini aku seperti menganalisis tentang diri manusia yang mungkin sepertiku, mungkin aku telah berada dalam keadaan sihat, kerana perasaan ku terhadap makanan sepertinya tidak begitu bangkit dan hebat, aku semakin sepi bila melihat makanan dan pada hematku itu menandakan aku telah sihat kerana aku pernah terbaca suatu kata dari penulis sarjana Indonesia “Lapar itu sakit, apabila kamu sakit maka makanlah ubatnya, makanlah seadanya sakitmu, jangan memberi ubat melebihi keperluanmu itu, berhentilah bila sakitmu sembuh”. Namun sekarang aku telah mengalami jasmani yang sihat kerana aku semakin tidak perlukan ubat, iaitu makan! Aku sangat bersyukur apa jua yang Allah tititpkan sesuatu ke dalam diri aku malah ke dalam dunia penuh liku-liku ini! subhanallah! Ilmu Allah itu luas sehingga manusia begitu jahil dan kerdil malah hina dan naïf di hadapanNya. Adakah manusia hanya perlu membaca Sesuatu bacaan. Sesungguhnya itu hanyalah sebuah teori, pada hakikatnya aku rasakan manusia perlu membaca wajah dunia, wajah yang bergerak. Iaitu dengan bacaan bertulis mahupun berbentuk wajah dan jisim Bukan dengan hanya membaca ‘Wajah Buku’ atau ‘Facebook’ atau sesebuah buku seperti makhluk yang berada di depan, kiri dan kananku ini. Aku tidak pernah menafikan bahawa mereka-mereka begitu berharga buatku, dia bersikap jujur padaku, bila aku tersilap dia menegur ku tanpa berselindung dan jelas. Buku-buku itu merupakan kalam Allah dan Rasul, kalam para Ulama’ dan para Ilmuwan, para pemikir terulung dan para intelektual yang thiqah, apakah aku begitu bijak dan hebat sehingga aku tidak mahu menurut kata mereka, aku begitu kerdil dan kecil, apa yang aku punya demi meraih redhaNya, aku punya kudrat dan doa untukNya supaya aku tetap utuh kepada Dia dalam menjalani dan menggapai sebuah misi musafir Ilmu dan cinta seperti pembaca pada saat ini, moga kalian insan di dalam pandangan Allah. Mudah-mudahan kita bersama! Wahai pemilik hati jernih insan kesayangan Tuhan, aku begitu terpesona akan sebuah tempat berilmu, tahukah kamu apakah itu, sesunggunya ia sesuatu ilmu, dia bukan sebuah buku, tetapi dia seorang manusia, berhadapan dengan manusia merupakan Ilmu, tidak ternilai akan harganya! Dengannya aku belajar mengenal banyak ilmu, masyaAllah, subhanallah! Bersamanya mampu menjadikan aku seperti pencatat hebat! Mungkin juga sebagai coretan rahsia! Bagiku, manusia ibarat sebuah buku, yang mana tajuknya berbeza-beza, isinya juga berbeza, tebal dan nipisnya sesebuah buku itu bergantung kepada kedalaman kita mengkajinya, kecekalan kita menerokainya membolehkan kita membuat analisis akan sebahagian dari berbagai-bagai bentuk dan jalan kehidupan, jika manusia yang kita kaji itu punya ilmu ketuhanan yang tinggi, maka buku yang kamu hasilkan adalah buku ketuhanan, jika manusia kajian kamu itu punya ilmu fiqh maka fiqh lah tajuk buku dan kitab yang dapat kita dapat hasilkan. Jika dia punya kelebihan akan sebuah ilmu Tasawuf maka tasawuflah kitabmu! Namun begitulah sebaliknya. Sesiapa pun yang pernah kamu temui dan mendalaminya maka itulah ilmu, sayang sekali jika kamu mengabaikannya, maka kamu tidak dapat menghasilkan apa-apa walau hanya sebuah buku! Aku pernah menemui sesorang yang dengannya aku mampu menulis berbagai-bagai tentang ilmu yang ada padanya, aku tidak tertarik dengan apa yang ada pada dirinya secara kasar namun ilmu yang ada padanya yang tersembunyi dan secara tersiratnya. Itulah penarikannya dan Itulah Ilmu! Aku namakannya Kitab Manusia! Aku berkawan dengan manusia adalah demi mendapat ilmu dan memberi ilmu jika aku punya. ilmu yang dimaksudkan di sini adalah hikmah dan kebijaksaan, jika menurut Imam al-Ghazali Ilmu itu suatu Iman dan keyakinan. Menurut ulama muktabar pula hikmah itu suatu kebijaksaan di dalam mendalami sesuatu ilmu. Secara tidak langsung dengan Ilmu adalah demi mencapai redhaNya. Namun awas jika kerana manusia! Jangankan akhirat, di dunia telah Allah lenyapkan seri cahaya pada wajahnya itu. Dengan ilmu, maka berjalanlah kamu di mana sahaja, dia mampu menjadi bekalan sepanjang perjalanan sementara masih tetap mencari! Kerana hidup itu suatu pengembaraan bertulis atas sebuah kitab kehidupan manusia itu kesan langkahmu itu. Atsar!!
P/s : Aku begitu hairan mengapa ada segelintir manusia yang menyangkal akan kepentingan menuntut Ilmu. Aku teringat kata-kata guruku, ‘Atsar’ itu yang akan menolong mu menjadi saksi di Akhirat, di mana kamu melangkah! Atsar juga merujuk kepada kesan telapak kaki mu ke Masjid, surau atau tempat menuntut ilmu. Wallahu’alam. Allahu Ya Kareem. Allahu Akbar.
Salam Ramadhan pada semua.
15 Ramadhan 1432H. 12.29 a.m (,”)
“kata-kata ini ditulis di dalam bulan Ramadhan”